Epistemologi Melayu

Etimologi perkataan Melayu sebenarnya tidak dapat ditentukan asal usulnya kerana terdapat beberapa pendapat yang menyatakan adanya beberapa perkataan yang mempunyai iras-iras dengan perkataan “Melayu” dan asal usulnya. Dalam epik Ramayana iaitu teks India berbahasa Sanskrit yang dipercayai dihasilkan pada abad pertama Masihi ada menyebut tentang tempat bernama Malaydivpa yang bererti Pulau atau Semenanjung Melayu. Teks tersebut menyatakan Malaydivpa adalah salah sebuah provinsi di kepulauan timur yang terdapat sebuah bukit yang mempunyai banyak emas dan perak iaitu Mahamalaya. Selepas itu muncul lagi beberapa perkataan yang iras-iras dengan perkataan “Melayu” seperti Maleoukolon, Mo-lo-yu, dan Malaiyar.

Asal usul orang Melayu menurut pakar arkeologi tempatan dan Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh yang merupakan Dekan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dan juga bekas Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), orang Melayu merupakan penduduk asal Benua Sunda, meliputi Tanah Melayu, Borneo, Indonesia, Filipina, dan Indo-China. Ini sekaligus telah menolak teori Barat, iaitu teori Robert Heine Geldern, yang dibuat oleh seorang pengkaji sejarah daripada Austria pada tahun 1932, yang mendakwa orang Melayu bermigrasi semasa gelombang pertama (Proto-Melayu) antara 5,000 Sebelum Masihi (SM) hingga 3,500 SM daripada Yunnan iaitu wilayah China Selatan dan turun ke Kepulauan Melayu, sebaliknya mereka merupakan penduduk asal Alam Melayu itu sendiri yang wujud 74,000 tahun SM. Berdasarkan kajian yang dilakukan di Yunnan sejak 1990-an beliau mendapati tidak terdapat satu pun etnik di situ yang menyerupai Melayu, sama ada dari segi lingua franca mahupun budaya. Beliau turut berpendapat bahawa masyarakat Melayu-Polinesia wujud sebagai tamadun manusia kedua tertua di dunia selepas Afrika melalui fakta yang beliau kemukakan iaitu “tamadun Eropah dan China agak kemudian, kerana kawasan itu diliputi salji tebal semasa zaman ais, jadi manusia tidak boleh duduk disitu.”

Definisi eknisiti Melayu di Malaysia mengikut Perlembagaan Malaysia dalam Perkara 160, Melayu ialah seseorang yang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu, dan mengamalkan adat resam orang Melayu. Dari segi definisi budaya, Melayu itu merangkumi seluruh penduduk pribumi di Dunia Melayu (Nusantara), yaitu penduduk serumpun tidak kira bahasa yang mereka tuturkan, adat-istiadat yang mereka amalkan, dan agama yang mereka anuti. Di Malaysia, penduduk pribumi yang berasal dari keturunan Bugis, Jawa, Minang, Aceh, Mandaling, dan lain-lain yang bertutur dalam bahasa Melayu, mengikut adat-istiadat Melayu, dan beragama Islam, semuanya dianggap sebagai orang Melayu. Bahkan orang bukan pribumi yang berkahwin dengan orang Melayu dan memeluk agama islam juga diterima sebagai orang Melayu. Orang Melayu dari segi fizikal umumnya digambarkan sebagai orang yang berkulit sawo matang, berbadan sederhana besar serta tegap dengan sifatnya yang selalu berlemah lembut dan berbudi bahasa. Pada zaman dahulu sebahagian besar orang Melayu tinggal di kawasan desa atau kampung. Desa atau kampung pada waktu itu berfungsi sebagai satu unit politik, ekonomi, genealogi, dan keagamaan.

Bibliografi:

Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman. et al. 2011. Alam Melayu: satu pengenalan. Selangor: Institut Alam Dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Sohaimi Abdul Aziz. 2014. Dahsyatnya Kesusasteraan Memerihalkan Kehidupan .Penang: Universiti Sains Malaysia.

http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/budaya/3240-masyarakat-melayu-di-malaysia.html

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kajian-bukti-melayu-bukan-pendatang-dari-china-kata-ahli-akademik

Comments

Popular posts from this blog

Impak Positif dan Negatif Globalisasi terhadap Pendidikan di Malaysia

Pelan Colombo