Impak Positif dan Negatif Globalisasi terhadap Pendidikan di Malaysia
Era globalisasi telah mendatangkan cabaran dan persaingan yang kompleks terhadap sistem pendidikan di Malaysia. Cabaran yang dihadapi boleh dianggap sebagai ancaman kerana globalisasi juga boleh dianggap sebagai satu bentuk penjajahan yang bukan berbentuk fizikal, tetapi melalui penjajahan minda melalui penggunaan teknologi maklumat (Pati 2014: 103). Kewujudan alat komunikasi moden telah meletakkan sebahagian besar dunia terletak berdekatan bagi kebanyakan penduduk, sama ada melalui penyebaran maklumat, pertukaran barangan ataupun masa perjalanan. Namun kemudahan ini mempunyai impak-impak negatif, seperti penyebaran pesat wabak penyakit. Di samping itu, ia juga boleh mendatangkan kesan-kesan positif dan negatif pada masa yang sama di sesebuah negara seperti peluang yang akan muncul bagi masyarakat yang berada di bawah pemerintahan rejim totalitarian untuk mendapatkan atau berkongsikan aliran maklumat di antara mereka, mahupun dengan penduduk di seluruh dunia yang selama ini disekat dan ditapis melalui media di bawah kawalan rejim (Bergan & Damian 2010: 59). Akibatnya sukar bagi rejim untuk terus mengekalkan hegemoni pemerintah di dalam negara.
Impak positif globalisasi terhadap pendidikan di Malaysia boleh dilihat apabila ia membuka peluang ekonomi kepada negara dengan munculnya kepentingan terhadap ekonomi pengetahuan iaitu proses ekonomi yang melibatkan aktiviti pengumpulan pengetahuan, dan menggunakannya secara produktif. Keadaan tersebut telah membuatkan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi ingin merebut peluang ekonomi dan kemajuan pendidikan dalam negara dengan menjadikan Malaysia sebagai ‘hub’ bagi pendidikan tinggi. Kemunculan hub tersebut dilihat dapat mendatangkan banyak impak positif kepada masyarakat dan negara dengan kemasukan pelajar-pelajar asing, meningkatkan kerjasama antara pakar dari dalam dan luar negara, pembangunan sumber manusia, penubuhan cawangan-cawangan universiti dari luar negara di Malaysia, dan penubuhan cawangan universiti-universiti Malaysia di luar negara, dan juga meningkatkan imej negara. Bagi merealisasikan hasrat berkenaan, globalisasi dilihat elemen utama yang memainkan peranan penting bagi membolehkan dan menghubungkan kerjasama antarabangsa (Pati 2014: 103-04).
Namun peluang-peluang yang muncul tidak datang secara percuma atau tanpa cabaran. Kesan negatif dapat dilihat apabila peranan bahasa Melayu mula terhakis dalam mata pelajaran matematik, dan sains yang kini menggunakan bahasa Inggeris. Pada tahun 2003 Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) atas tekanan yang dihadapi dalam era globalisasi yang membimbangkan Dr. Mahathir Mohamad (Mahathir) yang melihat pengangguran kira-kira seramai 44,000 mahasiswa lepasan Institusi Pengajian Tinggi Awam pada tahun 2002. Antara sebab utama bilangan pengangguran begitu tinggi menurut Mahathir adalah kerana kurangya kecekapan kemahiran berbahasa Inggeris. Ini kerana bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar atau bahasa rasmi dalam hubungan global. Penekanan dan pelaksanaan dasar PPSMI hanya kepada mata pelajaran matematik, dan sains adalah kerana kepentingan bidang itu pada masa kini. Menurut Carnoy nilai teknologi maklumat, dan industri lain yang menggunakan sains adalah lumayan pada era globalisasi. Justeru ia telah menyebabkan penekanan terhadap pendidikan matematik, dan pendidikan sains oleh kebanyakkan negara (Tan Yao Sua 2010: Bab 4).
Tujuan kerajaan sememangnya murni kerana ingin menambah peluang pekerjaan dan meningkatkan daya saing masyarakat yang tidak lagi dapat melarikan diri daripada turut mengikut arus globalisasi, tetapi pada masa yang sama, globalisasi juga boleh membawa kesan negatif dengan memaksa kepada perubahan sistem pendidikan Malaysia bagi menjadikan atau menyediakan para graduan supaya relevan dengan memenuhi keperluan majikan masa kini yang sedang bersaing untuk memastikan kelangsungan mereka dan supaya negara dapat terus kekal dan relevan di persada antarabangsa.
Contoh lain globalisasi boleh membawa impak positif dan negatif pada masa yang sama dapat dilihat apabila berlakunya kehilangan atau terhakisnya tradisi dan bahasa akibat globalisasi yang merupakan satu kerugian kepada kepelbagaian manusia, tetapi pada masa yang sama ia dapat memecahkan daripada pengasingan komuniti kecil dan menerima manfaat dari dunia yang lebih luas kepada ramai individu. Idealnya adalah ntuk keluar daripada pengasingan tanpa kehilangan kesedaran tradisi nenek moyang, dan bahasa asal seseorang, tetapi secara praktikal adalah amat sukar untuk terjadi kerana perubahan selalunya berlaku (Bergan & Damian 2010: 59).
Walaupun menyedari akan hakikat tersebut, tidak dapat dinafikan jika globalisasi dipinggirkan, ia akan melambatkan dan merugikan perkembangan dan kemajuan peradaban di Malaysia, dan seterusnya akan menyebabkan Malaysia hanyut dipukul ombak globalisasi yang rencam dan sengit dengan persaingan di peringkat antarabangsa dan seterusnya memberi impak di peringkat domestik.
Bibliografi:
Pati Anak Aleng. 2014. Transformasi Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan. Rawang: PTS Akademia.
Sjur Bergan & Radu Damian. 2010. Higher Education for Modern Societies: Competences and Values. Strasbourg: Council of Europe.
Tan Yao Sua. 2010. Isu Bahasa, Etnik, dan Pembinaan Negara Bangsa dalam Sistem Pendidikan Malaysia. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
Comments
Post a Comment