Teori Pilihan Rasional

Teori pilihan rasional adalah pendekatan teoritis yang cuba untuk meneliti apa sebenarnya yang berlaku dalam realiti sosial melalui kaedah pemerhatian terhadap tingkah laku manusia di peringkat individu dan kumpulan. Pada asasnya, teori ini berorientasikan secara positivistik. Teori pilihan rasional adalah berasal daripada disiplin ilmu ekonomi klasik yang pertama kalinya digagas oleh Adam Smith iaitu seorang ahli ekonomi yang disanjung sebagai bapa ekonomi Inggeris. Menurut Smith masyarakat tidak perlu diatur dalam urusan ekonomi kerana naluri mereka dengan sendirinya akan bertindak memperjuangkan kepentingannya. Selain itu, tindakan membela kepentingan ekonomi masing-masing tidak hanya akan menyebabkan persaingan, tetapi juga akan mencipta mutualisme simbiotik yang akan mewujudkan kebergantungan yang saling menguntungkan. Analogi yang digunakan oleh Adam Smith bagi menjelaskan hujahnya ialah pembuat roti yang menjual roti. Niat dan motivasi pembuat roti itu bukanlah kerana mereka seorang yang mulia dan mengambil berat tentang orang lain, tetapi adalah disebabkan mereka juga memerlukan wang untuk memenuhi keperluan mereka yang lain, dan aktiviti mereka itu adalah satu-satunya yang membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup. 

Sejak teori pilihan rasional diperkenalkan oleh Adam Smith, penggunaan teori ini telah berkembang ke dalam pelbagai disiplin ilmu, termasuk dalam disiplin ilmu sosiologi. Cesare Beccaria sekitar tahun 1700-an telah menggunakan teori pilihan rasional untuk menjelaskan fenomena sosial yang berlaku dalam masyarakat. Teori ini juga sering disebut sebagai teori tindakan rasional yang berakar daripada teori sosiologi oleh Max Weber. Antara ahli-ahli teori yang mempopularkan teori ini dalam hubungan etnik adalah Thomas Sowell (1975), Thomas Schelling (1978), Michael Banton (Banton) (1997), dan Mansor Mohd. Noor (2000). Banton mengandaikan bahawa individu mempunyai sifat rasional yang bertindak untuk memaksimumkan keuntungan dalam keadaan yang sedang mereka alami. Banton mengakui bahawa rangka kerja teoretikalnya ini adalah berasaskan daripada  metodologi individualisme yang terutamanya memandang manusia sebagai entiti yang melakukan pilihan rasional yang mengoptimumkan kos dan manfaat dengan memilih alternatif yang wujud dalam masyarakat atau keadaan tertentu. Ini adalah bertentangan dengan pandangan yang mengatakan bahawa manusia adalah makhluk sosial. Teori yang dikemukakan olehnya menggambarkan bahawa etnisiti adalah sebuah proses inklusif di mana individu akan menggunakan perbezaan yang ada, seperti daripada segi budaya dan fizikal untuk menghasilkan kumpulan dan kategori tertentu di dalam masyarakat. 

Banton berhujah, apabila sudah terciptanya kumpulan-kumpulan dalam masyarakat, ia seterusnya akan berinteraksi dan akan berlakunya persaingan. Bentuk dan intensiti persaingan antara kumpulan akan mempengaruhi sempadan atau batas dalam sesebuah kumpulan. Menurut Banton, bersaing sebagai kumpulan akan memperkuatkan sempadan perbezaan yang wujud dengan yang lain, sedangkan persaingan secara individu biasanya cenderung akan menyebabkan berlakunya pembubaran sempadan perbezaan dalam kumpulan yang diwakili. Di sini individu sekali lagi digambarkan sebagai entiti yang mengutamakan dirinya kerana mereka sanggup memilih alternatif lain yang boleh mengoptimumkan faedah yang akan diterimanya tanpa mengambil kesannya terhadap kumpulan yang diwakili. Banton menganggap bahawa manusia adalah bebas daripada emosi dalam aspek kehidupan sosial dengan sepenuhnya menolak wujudnya pertalian primordial dalam pembentukan kumpulan etnik. Teori ini juga menyatakan bahawa apabila terdapat kumpulan berbeza yang mengawal sumber-sumber utama seperti tanah atau pekerjaan, seseorang individu akan cenderung melihat kepentingan mereka adalah sama dengan kumpulan tersebut dan ingin menjadi seperti mereka.

Berikut ialah andaian dalam teori pilihan rasional berkenaan hubungan etnik dalam masyarakat yang dinyatakan oleh Mansor Mohd. Noor:

  • Individu mempunyai matlamat dan kecenderungan yang berbeza.
  • Individu bertindak untuk memaksimumkan ganjaran material dan kedudukan.
  • Tingkah laku individu merupakan fungsi sentimen peribadi dan kepercayaan terhadap kelompok sebayanya.
  • Apabila individu membuat satu pilihan untuk bertindak, tindakan pilihan yang lain akan tertutup.
  • Semasa individu bertindak ke atas pilihan tingkah laku yang dibuat, individu berkenaan akan mewujudkan ikatan sosial yang lebih erat dengan individu lain yang terlibat.
  • Apabila individu gagal memaksimumkan ganjaran yang dihajati, dia akan mengambil tindakan menggembleng kekuatan kolektif, dan dalam hal ini dimensi yang dipilih akan menggambarkan konteks sejarah-budaya masyarakat tersebut.
  • Apabila individu gagal memaksimumkan kepuasan melalui pelbagai dimensi kumpulan sosial yang wujud dalam masyarakat, dia akan berpaling kepada soal-soal keagamaan dan ketuhanan.
  • Apabila individu memilih untuk menggembleng kolektif berdasarkan warisan kebudayaan, batas kumpulan bersifat terbuka.
  • Apabila individu memilih untuk menggembleng kolektif berdasarkan warisan fizikal, batas kumpulan bersifat terbuka.
Berdasarkan andaian yang diberikan, manusia merupakan makhluk yang mempunyai perbezaan matlamat dan kecenderungan dalam setiap diri mereka yang boleh dipengaruhi oleh faktor persekitaran dan kepercayaan hidupnya. Walau apa sekalipun perbezaan tujuan yang ada, mereka adalah makhluk yang rasional dan mementingkan diri kerana matlamat akhir mereka adalah untuk kebaikan diri mereka bahkan cuba untuk memaksimumkan faedah dan kepuasan yang diinginkan. Perbezaan yang wujud antara individu tersebut dengan kumpulan yang lain tidak diambil kira apabila mereka membuat pilihan rasional secara individu.

Bibliografi :

Mohammad Fadil Imran. 2015. Mutilasi dalam Perspektif Kriminologi: Tinjauan Teoretis Lima Kasus Mutilasi di Jakarta. Jakarta: Yayasan Pustaka Obor Indonesia.

Mohammad Shahabuddin. 2016. Ethnicity and International Law. New York: Cambridge University Press.

Patrick James & David Goetze. 2001. (pynt). Evolutionary Theory and Ethnic Conflict. Connecticut: Praeger Publishers. 

Randy R. Wrihatnolo & Riant Nugroho Dwidjowijoto. 2007. Manajemen Pemberdayaan. Jakarta: Penerbit PT Elex Media Komputindo.

http://www.vodppl.upm.edu.my/uploads/docs/skp2204_1330913673.pdf

Comments

Popular posts from this blog

Impak Positif dan Negatif Globalisasi terhadap Pendidikan di Malaysia

Pelan Colombo