Sejarah Sekolah Kebangsaan Sijangkang

 


SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN SIJANGKANG 

27 FEBUARI 1911: Bermula dengan nama Sekolah Melayu Sijangkang. Ia terletak 2 km dari sekolah yang ada sekarang, iaitu di kawasan tanah wakaf yang sekarang dijadikan tanah perkuburan. Ia hanya merupakan sebuah bangsal yang dibina menggunakan atap nipah, kayu bakau, beluti dan papan Bangunan ini dibuat secara gotong royong. Di sebelah belakang sekolah ini terdapat sebuah bilik yang dikenali dengan nama ‘Dapur Cikgu’.Bilangan murid lebih kurang 50 orang dengan 5 orang guru. Guru besar yang pertama ialah YM Raja Yusuf b. Raja Daud.

6 DISEMBER 1914: Sekolah asal dipanah petir dan mengalami kerosakan. Sekolah dipindahkan ke tempat lain berhampiran dengan kawasan itu juga. Bangku dan meja yang digunakan ialah jenis panjang dan digunakan oleh murid-murid darjah 4 dan 5. Murid-murid lain menggunakan meja rendah dan duduk di atas lantai. Darjah 5 (V) bermula dengan 6 orang murid sahaja dalam satu kelas. Murid-murid menggunakan papan hitam kecil. Buku bacaan yang digunakan ialah buku bacaan jawi sahaja.

12 JULAI 1927: Sekolah berpindah ke tempat sekarang iaitu Pekan Batu Satu. Bangunan sekolah dibina oleh kerajaan iaitu sebuah bangunan yang mengandungi tiga bilik darjah. Selain itu terdapat juga dua buah rumah guru. Pertambahan murid semakin pesat. Oleh kerana bangunan yang ada tidak dapat menampung keperluan semasa, maka sebahagian daripada murid terpaksa belajar di bawah bangunan sekolah dan dibawah rumah guru.

12 MAC 1954: Seramai 90 orang penduduk kampung telah bergotong-royong untuk mendirikan sekolah tambahan.

27 JULAI 1955: Sekolah dijadikan tempat mengundi bagi Pilihan Raya Persekutuan. 27 Julai 1956. Sekolah telah roboh akibat dilanda ribut. Pada tahun ini juga Sekolah Melayu Sijangkang ditukar nama kepada Sekolah Umum Sijangkang.

1961: Sekolah Umum Sijangkang telah ditukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Sijangkang.

1981: Lebih kurang satu perlima dari murid-murid sekolah ini telah berpindah ke Sekolah Kebangsaan Kampung Medan.

1982: Sebuah lagi bangunan tambahan didirikan, yang digunakan pada pertengahan tahun 1983. Bangunan ini lengkap dengan bilik serbaguna, bilik guru, bilik sembahyang dan bilik darjah biasa.

1 JANUARI 1986: Jumlah murid meningkat kepada 1023 orang.

1 JANUARI 1989: Jumlah murid meningkat kepada 1170 orang murid dengan 45 orang guru terlatih.

1 JANUARI 2012: Penambahan murid meningkat sehingga 1444 dengan 79 orang guru terlatih. Penambahan beberapa prasarana bangunan sekolah iaitu surau dan kantin. Penambahbaikan bangunan yang sedia ada.

1 JANUARI 2013:Pengubahsuaian dan pembesaran serta infrastruktur di kantin, bilik guru, pusat sumber, Tandas guru dan tandas murid, bangunan PKG dan kelas. Pembinaan bangunan kelas baru (karbin) untuk murid. Menyediakan tempat letak kereta tambahan untuk guru di kawasan padang. Menambak padang sekolah untuk kegunaan murid. Membina kolah untuk murid mengambil wuduk di blok A. Menambah bilangan tangki air bagi menampung keperluan sekolah. Mengalihkan tempat parking kereta guru bagi memulakan pembinaan “Marquetent”.

JANUARI 2019: Sekolah telah mula menggunakan empat blok baru setingkat yang menyediakan dua belas bilik darjah. Bangunan ini adalah pembangunan daripada projek pembangunan Kementerian Pendidikan Malaysia yang bermula April 2018.

JANUARI 2021: Mencatatkan jumlah murid 1729 murid (enrolmen Disember 2020). Murid adalah terdiri daripada lima kelas Pra Sekolah, empat puluh kelas perdana dan dua kelas Pendidikan Khas. Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Pembelajaran telah mula beroperasi mulai Julai 2020. Bilangan guru seramai 91 dan 10 Anggota Kumpulan Sokongan (AKP).

Comments

Popular posts from this blog

Impak Positif dan Negatif Globalisasi terhadap Pendidikan di Malaysia

Pelan Colombo