Isu Bahasa Melayu 1960-an
Persekutuan Tanah Melayu dan penduduk negara ini sebelum lahirnya Malaysia telahpun bertutur dalam satu bentuk bahasa pengantar, iaitu bahasa Melayu.
Isu bahasa Melayu sebenarnya telah lama disentuh hasil daripada hubungan baik antara parti dalam Parti Perikatan yang cuba tawar menawar tentang politik, khususnya membabitkan perkara berkaitan perlembagaan dan kewarganegaraan. Antara isu yang diperdebatkan adalah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tunggal.
Bahasa Melayu berasal dari rumpun bahasa Austronesia yang digunakan sejak abad pertama Masihi lagi di dunia sebelah timur, gugusan pulau-pulau Melayu dan Nusantara dengan bermula sebagai bahasa Melayu Kuno yang digunakan sehingga kira-kira abad ke dua-belas dan berkembang menjadi bahasa Melayu Klasik kesan daripada kenaikan mutu dan penggunanaannya dalam hubungan perdagangan antarabangsa dan hubungan diplomatik, dan kini telah bertambah larasnya dan bidangnya bagi menangani era moden sekarang ini bagi pengucapan sains, teknologi, komputer, dan sebagainya, maka ianya berkembang menjadi Bahasa Melayu Moden yang mengandungi ratusan ribu kata dan istilah yang ilmiah. Menurut Profesor Collins, sepanjang sejarah 1,300 tahun bahasa Melayu telah menerima kata-kata daripada bahasa Arab, Sanskrit, Portugis, dan Belanda.
Wakil-wakil rakyat PAS termasuk Dr Burhanuddin al-Helmy yang merupakan seorang ahli politik yang berpengalaman dan pejuang bangsa Melayu yang sentiasa melihat kepentingan bahasa Melayu semenjak awal 1960-an telah membangkitkan dan memperjuangkan isu bahasa Melayu dalam parlimen Malaysia sejak ketika beliau belum ditahan di bawah Internal Security Act (ISA) atau dikenali sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri dengan membuat tuntutan supaya bahasa tunggal dan rasmi Tanah Melayu ialah bahasa Melayu. Isu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ditimbulkan lagi oleh perwakilan PAS dalam mesyuarat agung tahunan PAS ke-9 pada 12 dan 13 Februari 1961 dengan mengemukakan usul supaya Majlis Mesyuarat Agung yang bersidang pada hari tersebut mengambil ketetapan mendesak kerajaan Persekutuan Tanah Melayu supaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua sekolah menengah mulai pada awal tahun 1961. Namun misalnya sehingga tahun 1967 setelah berusaha dalam memperjuangkan bahasa Melayu, jelas bahasa Melayu masih belum menjadi bahasa rasmi sepenuhnya.
Bibliografi:
Kamal Shukri Abdullah Sani. 2007. Bahasa Melayu: Apa Sudah Jadi?. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Mohd Rizal Yaakop. 2004. Kontrak Sosial Perlembagaan Persekutuan 1957: Pengikat Jati Diri Bangsa Malaysia Merdeka. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad.
http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/36887-pas-dan-perjuangan-memartabatkan-bahasa-melayu
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.aspy=2011&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_04.htm
Comments
Post a Comment