Konflik Dalaman UMNO 1987

Pada 1987 telah tercetus krisis dalaman United Malays National Organization (UMNO), apabila Tengku Razaleigh yang juga pemimpin UMNO Kelantan mencabar Dr Mahathir Mohammad dalam pertandingan merebut jawatan Presiden UMNO pada tahun 1987. Keputusan Tengku Razaleigh menambahkan kekusutan UMNO Kelantan. Keputusan Tengku Razaleigh untuk merebut jawatan Presiden UMNO mendapat sokongan penuh sebahagian besar Ketua UMNO Bahagian di Kelantan, ini membuktikan walaupun beliau melakukan penentangan beliau masih mempunyai pengaruh dalam UMNO negeri. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Tengku Razaleigh tewas dalam pemilihan itu dan mengambil keputusan untuk keluar daripada UMNO. Beberapa pengikut Tengku Razaleigh yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan UMNO 1987 mencabar perkara itu di mahkamah dengan membuat keputusan kontroversi pengharaman parti UMNO. Kesan daripada tindakan kontroversi tersebut, Tun Dr Mahathir Mohammad mengambil langkah untuk mendaftarkan semula parti UMNO yang kemudiannya dikenali sebagai UMNO (Baru). Sebaliknya Tengku Razaleigh pula mengusahakan penubuhan parti baru yang di namakan sebagai Parti Melayu Semangat 46 (S46). Dengan ini UMNO Kelantan berpecah kepada dua kumpulan, UMNO (Baru) diketuai oleh Mohammad Yaakub sementara S46 dipimpin Tengku Razaleigh. 

Penubuhan parti S46 memulakan episod baru dalam politik negara khususnya di Kelantan dengan kedudukan parti itu yang bukan di bawah naungan Barisan Nasional (BN) dan menjadi parti oposisi yang menggugat kedudukan kerajaan UMNO di Kelantan. Selepas itu parti S46 mengadakan kerjasama dengan Parti Islam Se Malaysia (PAS), Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (BERJASA), dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) yang membawa kepada pembentukan gabungan politik yang dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang menyebabkan UMNO bersendirian setelah BERJASA dan HAMIM bertindak keluar daripada komponen BN. Kesannya UMNO semakin kehilangan sokongan dan sebaliknya sokongan bertumpu kepada APU. Dalam keadaan demikian apabila berlangsung PRU 1990 di Kelantan, APU berjaya menyapu bersih kerusi DUN, dengan itu berakhirlah tampuk pemerintahan UMNO di Kelantan selepas berkuasa selama 12 tahun.

Bibliografi:

The Malaysian Insider (2013)

Comments

Popular posts from this blog

Impak Positif dan Negatif Globalisasi terhadap Pendidikan di Malaysia

Pelan Colombo

Epistemologi Melayu