Konflik Dalaman UMNO 1998

Pada 2 September 1998, United Malays National Organization (UMNO) menghadapi konflik dalaman yang membawa kepada pemecatan Timbalan Perdana Menteri, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penahanannya pada 20 September atas sebab beliau tidak sehaluan dengan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dalam menangani krisis kewangan, meskipun dasar ini bukanlah sebab utama kejatuhan beliau dalam kerajaan dan parti. Selain itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga didapati bersalah oleh mahkamah kerana melakukan hubungan sejenis atau homoseksual serta menyalahgunakan kuasanya untuk menutup kesalahan beliau.

Kronologi yang membawa kepada konflik dalaman UMNO 1998 yang melibatkan hubungan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan telah bermula sejak tahun 1995 lagi. Ketika itu banyak khabar angin yang menyatakan kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mencabar Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bagi jawatan Presiden UMNO pada pemilihan yang akan diadakan pada tahun berikutnya. Pada 20 September 1995, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah menafikan sebarang spekulasi yang timbul dan menyatakan tiada sebarang perselisihan faham yang berlaku antara beliau dan timbalannya selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO. Ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menyatakan bahawa sokongan beliau kepada Perdana Menteri tidak perlu dipersoalkan.

Walaubagaimanapun, Perhimpunan Agung UMNO 1996 berlalu hanya dengan sekadar Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan jawatan beliau. Namun soal hubungannya dengan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad terus diperkatakan terutamanya oleh media Barat yang sentiasa mengaitkan beliau dengan jawatan tertinggi UMNO. Disamping itu, tidak kurang juga yang mengaitkan tentang jawatan dan tugas Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan khusunya ketika negara mula dilanda krisis mata wang dan kegawatan ekonomi sejak Julai tahun lalu. Kemudian pada 6 Ogos 1996 Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, akibat terlalu banyak teori konspirasi mengenai hubungannya dengan timbalannya, ianya telah menimbulkan pelbagai keadaan yang tidak menyenangkan dalam UMNO tetapi pada 22 November 1996 beliau tetap memberi sokongan penuh terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penggantinya.

25 Ogos 1997 Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah menepis dakwaan yang kononnya Timbalannya terbabit dalam skandal seks dengan menyatakan ianya merupakan fitnah yang bermotifkan politik. Keesokan harinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan beberapa surat tohmahan terhadapnya diedarkan kebelakangan ini dalam usaha yang terancang, teratur, dan teliti bagi tujuan memendekkan kerjaya politiknya. Pada Perhimpunan Agung UMNO 7 September 1997, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bertindak menangkis segala tohmahan yang bertujuan untuk merosakkan imej timbalannya yang bakal menggantikannya.

17 Jun 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh perintah injunksi interim terhadap penulis buku bertajuk 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM. Keesokan harinya pula Ketua Pemuda UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi pada perhimpunan pergerakan itu mendesak supaya unsur nepotisme dan kronisme dalam kerajaan dihapuskan. Kemudian pada 20 dan 21 Jun 1998, senarai nama syarikat dan individu yang mendapat saham dan projek kerajaan diedarkan kepada para perwakilan Perhimpunan Agung UMNO. Dalam ucapan pergulungan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dalam perhimpunan 21 Jun 1998 menegaskan bahawa tiada sebarang amalan nepotisme wujud sepertimana yang didakwa dan secara terbuka menyebut nama Datuk Ahmad Zahid Hamidi sebagai antara mereka yang terdapat dalam senarai tersebut. Pada 7 Ogos 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis spekulasi yang kononnya beliau akan melepaskan jawatan Menteri Kewangan serta menyifatkan spekulasi tersebut sebagai ‘tidak bersasas’ dan juga menyatakan bahawa beliau masih lagi bertanggungjawab penuh di Kementerian Kewangan.

22 Ogos 1998 di Kota Bharu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menyatakan bahawa terdapat usaha dari pihak asing untuk menumbangkan kerajaan dengan menggantikannya dengan timbalannya, tetapi ‘beliau bernasib baik kerana cubaan itu gagal’. Dua hari kemudian Naib Presiden UMNO Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya mengekalkan perpaduan dengan berpegang teguh kepada prinsip sebuah parti hanya mempunyai seorang ‘jeneral’. Keesokannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mendedahkan beberapa surat tohmahan terhadapnya sebagai usaha yang ‘terancang, teratur dan teliti’ dengan tujuan memendekkan karier politiknya. 31 Ogos 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan buat kali ketiga dalam tempoh sebulan yang beliau kononnya mengemukakan surat untuk peletakan jawatan.

Pada 1 September 1998 Datuk Seri Dr. Mahathir berkata, beliau akan menerima peletakan jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim jika beliau mengemukakan alasan yang kukuh. Keesokannya pada 2 September 1998, susulan krisis politik antara Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung cara menangani ekonomi dan perbalahan dalam UMNO maka Datuk Seri Anwar Ibrahim dilucutkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Bibliografi:

Chamil Wariya. 2004. Abdullah Ahmad Badawi: perjalanan politik PM ke-5. Kuala Lumpur:  Utusan Publication & Distributors.

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.aspy=1998&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_04.htm

https://m.malaysiakini.com/news/289199

Comments

Popular posts from this blog

Impak Positif dan Negatif Globalisasi terhadap Pendidikan di Malaysia

Pelan Colombo