Epistemologi Sekularisme dan Proses Sekularisasi

Fahaman sekular atau sekularisme pada umumnya dimaksudkan sebagai doktrin yang menolak agama atau dengan kata lain, pendekatan yang menafikan kedudukan agama dalam hal-ehwal sivil (IKIM.gov.my). Berdasarkan temu bual yang dilakukan bersama Dr. Luthfi Assyaukanie yang merupakan pengarangIslam and the Secular State in Indonesia iaitu sebuah buku yang diangkat daripada tesis kedoktorannya terdapat tiga imbuhan yang diterbitkan dari perkataan sekular iaitu sekularisme yang bermaksud ideologi, sekularisasi bermaksud proses, dan sekulariti pula adalah keadaan fikiran kita (JalanTelawi 2009).

Terdapat kelainan pendapat tentang asal usul sekularisme dari kalangan ahli-ahli sejarawan politik. Ada yang berpendapat gerakan sekularisme berpunca daripada peranan yang dimainkan oleh kaum Yahudi yang sentiasa mengapi-apikan semangat pemberontakan, pembentukkan kumpulan-kumpulan sulit, pengintipan rahsia, dan gerakan-gerakan penghancuran (Shalaby 1977: 278). Ada pihak berpendapat, gerakan sekularisme bermula pada zaman Renaissance antara abad ke-14 masihi hingga ke-16 masihi melalui suatu gerakan pembebasan di Barat yang dilakukan untuk menentang ketidakadilan yang dilakukan oleh pihak gereja Katholik Eropah (Qutb 1983: 11). Terdapat banyak bukti-bukti yang menunjukkan kaum Yahudi telah memainkan peranan penting sehingga berlakunya pemberontakan atau revolusi di Perancis dan lain-lain revolusi di Eropah (Carr 1958: 27).

Istilahsekularismedicipta oleh seorang pengarang British yang bernama George Jacob Holyoake pada tahun 1851 (Holyoake, G.J. 1986: 51). Holyoake mencipta istilahsekularisme adalah untuk menjelaskan pandangannya bagi menggalakkan suatu urutan sosial terasing dari agama, tanpa secara aktif menyingkirkan atau mengkritik kepercayaan agama (New Advent.org 2015). Perkataan secularism boleh diterjemahkan dengan dua maksud, iaitu pertama, dengan makna keduniaan atau materialis, bukannya keagamaan atau spiritual. Contoh yang diberi adalah seperti pendidikan yang tidak bersifat agama, pemerintah tanpa agama, dan pemerintahan yang bertentangan dengan gereja. Kedua, ia mempunyai maksud sebagai pandangan yang menyatakan bahawa tidak sepatutnya agama menjadi asas bagi akhlak dan pendidikan (Encyclopedia Oxford 1991: 309). Berdasarkan petikan yang dibuat oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi, perkataan secularism apabila dirujuk di dalam pelbagai kamus dan ensaiklopedia ianya terdapat banyak pergertian tetapi semuanya membawa kepada satu maksud yang sama (Yusuf 1977: 60-62).

Etimologi sekularisme diambil dari perkataan secular yang berasal dari bahasa Latin iaitu saeculum yang mempunyai erti dengan dua konotasi iaitu waktu dan lokasi, waktu merujuk kepada waktusekarangataukini, dan lokasi pula menunjukkan lokasi di “dunia atau duniawi (Al-Attas 1978: 19). Sekular merupakan sebuah konsep bahawa pemerintah, kerajaan, atau entiti lain harus wujud secara terasing atau terpisah dari sesuatu kepercayaan berkaitan agama (Jeroen Temperman 2010: 111). Dalam istilah bahasa Arab, sekular disebut sebagaial-Dunya manakala isme bererti satu fahaman (Qutb 1983: 11).

Sekularisasi pula didefinisikan sebagai proses pembebasan manusia terutamanya dari agama kemudian dari metafizik yang mengatur nalar dan bahasanya (Cox 1965: 2). Dr. Luthfi Assyaukanie menyatakan pada peringkat sekulariti, manusia mempunyai pandangan bahawa harus ada pemisahan antara hal agama dan hal negara, proses untuk melaksanakan apa yang mereka fikirkan itu dikenali sebagai sekularisasi (JalanTelawi 2009). Sekularisasi tidak hanya merangkumi aspek-aspek kehidupan sosial, dan politik, tetapi juga telah meresap ke dalam aspek keagamaan (Cox 1965: 20).

Terdapat tiga komponen penting di dalam dimensi sekuralisasi iaitu dalam Bible yang menjadi kerangka asas pensekularan, iaitu disenchantment of nature, desecralization of politics, dan deconsecration of values (Mascall 1966: 102-2).
  1. Disenchantment of nature merupakan pembebasan alam tabi`i atau dunia daripada nilai-nilai rohani serta agama sehingga ia dilihat sebagai benda tanpa makna-makna yang lain (IKIM.gov 2015).
  2. Desecralization of politics adalah merupakan penyingkiran nilai-nilai agama daripada politik yang memberi maksud manusia memiliki kebebasan untuk melaksanakan tugas kepimpinan tanpa pengesahan kewibawaan yang berdasarkan sumber-sumber agama (IKIM.gov 2015).
  3. Deconsecration of values pula merupakan penafian tentang kesucian dan sifat kekal nilai-nilai dalam kehidupan yang membawa maksud ketiadaan nilai-nilai suci yang kekal untuk sepanjang masa, sebaliknya nilai-nilai tersebut sentiasa akan berhadapan dengan penyemakan semula dan perubahan mengikut zaman (IKIM.gov 2015).

Pernyataan yang hampir serupa juga diberikan tentang ciri-ciri sekular seperti berikut, iaitu suatu fahaman yang merujuk kepada penafian terhadap hal-hal kerohanian, penolakan terhadap kewibawaan unsur-unsur kerohanian, penafian tentang adanya hidup yang tetap (akhirat), pemisahan di antara agama dan nilai kerohanian dengan pemerintahan dan kehidupan keduniaan, kekuasaan sebagai kebebasan mutlak untuk untuk merencana dan menyusun dasar hidup manusia dan seterusnya melaksanakan sendiri tanpa bergantung serta mempunyai hubung kait dengan tuhan, akhir sekali, gereja dan institusi agama hanya terbatas kepada perkara-perkara yang berhubung kait dengan masalah ketuhanan sahaja (Ismail 1978).
Ringkasnya boleh disimpulkan bahawa sekularisme adalah fahaman yang menolak atau memisahkan ajaran keagamaan dalam mengatur kehidupan didunia kerana menurutnya ajaran-ajaran lama atau keagamaan tidak lagi sesuai atau relevan mengikut peredaran zaman dan perlu disemak semula.

Bibliografi:

Ahmad Shalaby, Prof. Dr. 1977. Perbandingan Agama: Agama Yahudi. Singapura: Pustaka Nasional.

Carr, W. G. 1958. Pawns In The Game. Toronto: Federation of Christian Laymen.

Dr. Yusuf al-Qardhawi. 1977. Al-Islam Wa al-Ilmaniyyah Wajhan Liwajhin. Cet. ke-7. Qaherah: Maktabah Wahbah.
E.L. Mascall. 1966. The Securalization of Christianity. New York: Holt, Rinehart and Winston.
Harvey Cox. 1965. The Secular City. New York: Macmillan Publishers.
Holyoake, G.J. 1896. The Origin and Nature of Secularism. London: Watts and Co.
http://jalantelawi.com/2009/12/sekulariti-sekularisasi-dan-sekularisme/
http://www.ikim.gov.my/index.php/ms
http://www.newadvent.org/cathen/13676a.htm
Ismail R. Al-Faruqi. 1978. Islam Dan Agama Lain. Dalam Altaf Gauhar: Tentangan Islam (terj). Bandung: Penerbit Pustaka.
Jeroen Temperman. 2010. State Relationship and Human Rights Law: Towards a Right to Religiously Neutral Governance. Leiden: Martinus Nijhoff Publishers.
Kamus Dwi Bahasa Oxford . 1991.
Muhammad Qutb. 1983. Mazhab Fikriyyah Muaasarah. Mesir: Dar al-Syuruq al-Qaherah.
Syed Muhammad Al-Naquib Al-Attas. 1978. Islam and Secularism. Kuala Lumpur: ABIM.

Comments

Popular posts from this blog

Impak Positif dan Negatif Globalisasi terhadap Pendidikan di Malaysia

Sejarah Sekolah Kebangsaan Sijangkang

Epistemologi Melayu