Sejarah dan Perkembangan Feminisme
Sejarah feminisme bermula daripada gerakan feminis yang pertama pada akhir abad ke-19. Perkataan feminisme dikatakan buat pertama kalinya di Francis pada tahun 1880-an, diikuti di Great Britain pada tahun 1890-an, dan di United States pada tahun 1910 (Neeru Tandon 2008: 1). Feminisme boleh dilihat daripada pelbagai pespektif yang berbeza, iaitu sebagai aliran falsafah, teori etika, teori sosiologi, teori politik, dan teori kebudayaan. Setiap aliran feminisme mempunyai matlamat dan pandangan tersendiri terhadap isu mengenai wanita namun sekurang-kurangnya dalam setiap aliran mempunyai satu ciri perjuangan yang sama iaitu mengubah pandangan masyarakat terhadap kaum wanita (Sonny 2010: 147). Menurut Goafe, feminisme adalah teori tentang persamaan hak antara lelaki dan perempuan (Alfian 2014: 127). Terdapat tiga gelombang dalam gerakan feminisme yang berlangsung sejak abad ke-19 hingga kini (Budi 2010: 202-03). Kemunculan fahaman pasca-modenisme telah membuatkan golongan wanita terpengaruh dengan beranggapan kawalan agama hanya akan mengekalkan wanita dalam dunia kolot. Pengaruh tersebut telah membawa kepada kemunculan gerakan feminis atau hak asasi persamaan jantina yang diperjuangkan oleh wanita daripada golongan elit dan menengah atasan yang berpendidikan tinggi (Utusan Online 2011). Faktor perbezaan jantina merupakan punca utama munculnya gerakan feminisme kerana telah membawa kepada timbulnya masalah ketidakadilan dan kesamarataan antara lelaki dan perempuan sehingga berlaku penindasan (Nuruzzaman 2005: 1-18).
Gerakan feminisme diadakan adalah untuk membela dan memperjuangkan hak-hak wanita. Antaranya adalah untuk meningkatkan kedudukan dan darjat perempuan agar setaraf dengan kedudukan lelaki supaya perempuan dapat memperoleh hak dan peluang sama rata seperti apa yang dinikmati golongan lelaki. Selain itu, adalah usaha untuk membebaskan wanita daripada ikatan lingkungan domestik atau lingkungan kekeluargaan sahaja (Soenarjati 2000: 4). Selain itu, tujuan lain adalah untuk mengenengahkan isu perempuan di dalam bidang akademik terutamanya di peringkat pengajian tinggi supaya para ilmuan serta mahasiswa lebih peka terhadap isu yang berkaitan perempuan dan menyedari perempuan juga mempunyai kualiti untuk meningkatkan mutu dalam kehidupan secara umum seperti yang dimiliki kaum lelaki (Saparinah 2010: 61-73).
Menurut S.Reinhartz oleh kerana feminisme tidak mempunyai satu tokoh atau pemimpin yang menjadi ikutan oleh para feminis kerana terdapat perbezaan perspektif masing-masing maka terdapat pelbagai definisi feminisme (Saparinah 2010: 75-76). Istilah feminisme masih kerap diperdebatkan oleh para cendiakawan dan aktivis feminisme kerana terdapat sesetengah daripada mereka tidak bersetuju dengan adanya satu istilah tunggal feminisme, bahkan mereka berpendapat terdapat pelbagai istilah merujuk kepada feminisme kerana adanya beberapa jenis aliran feminisme (Bass & Radcliff 2005: 223-24). Feminisme boleh didefinisikan sebagai gerakan untuk menamatkan kegiatan seksisme, ekploitasi seksis, dan penindasan terhadap wanita (Hooks: 1). Dalam fahaman feminisme mereka memperjuangkan liberalisasi kaum hawa, soal keadilan sosial, kesaksamaan, hak kemanusiaan, dan pelbagai lagi pendekatan yang berpusat untuk menyebelahi kaum wanita (Utusan Online 2011).
PERKEMBANGAN FEMINISME
Terdapat tiga gelombang dalam gerakan yang membentuk feminisme secara keseluruhan, yang setiap daripadanya menyentuh tentang aspek yang berlainan terhadap isu yang sama. Gelombang pertama gerakan feminisme bermula pada akhir abad ke-19 hingga awal abad ke-20 yang mana tujuan utamanya adalah untuk menuntut hak mengundi (Neeru Tandon 2008: 1). Pada gelombang pertama seperti yang berlaku di Great Britain dan Amerika Syarikat, khusunya mereka memperjuangkan mengenai hak dalam perkahwinan, pemilikan harta, dan kemudian mula menuntut supaya terlibat dalam politik dan diberi hak mengundi. Gerakan gelombang pertama berusaha untuk melawan budaya patriarki lelaki yang melayan perempuan seperti makhluk kelas kedua. Pada gelombang kedua yang berlangsung antara 1960-an hingga 1980-an untuk mengakhiri diskriminasi terhadap perempuan. Mereka berjuang menentang ketidaksamaan kedudukan perempuan dari segi undang-undang dan budaya (Budi 2010: 202). Pada akhir tahun 1960-an dan sepanjang tahun 1970-an, konsep gender mula diperjuangkan secara strategik dan disebabkan itu, gerakan feminisme mula menjadi tumpuan luar biasa daripada masyarakat. Pendukung fahaman feminisme memperjuangkan hak mereka hingga ke Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diketuai oleh Amerika Syarikat untuk mewakili gerakan-gerakan yang lain (Siti 2004: 41-42). Gelombang ketiga muncul pada 1990-an sehingga kini, bangkit daripada gelombang kedua yang dianggap gagal (Budi 2010: 203).
Terdapat tiga aliran utama dalam feminisme iaitu feminisme liberal, sosialis, dan radikal. Feminisme liberal dapat dilihat pada gerakan pada gelombang pertama yang menuntut hak samarata antara lelaki dan perempuan. Asas kepada falsafah pemikiran feminisme liberal adalah terletak pada prinsip bahawa semua individu sama ada lelaki atau perempuan adalah sama dalam kehidupan. Feminisme sosialis pula menganggap eksploitasi terhadap perempuan adalah disebabkan oleh kapitalisme, dan mereka berharap dengan pemansuhan kapitalisme akan dapat mengakhiri eksploitasi terhadap perempuan (Arora 2011). Seperti kata-kata Frederick Engels yang ditulis dalam karyanya iaitu Origin of the Family, Private Property, and the State iaitu lelaki adalah borjuis dan perempuan mewakili kaum proletariat (Arora 2011; Soenarjati 2000: 3). Buku tersebut telah menyebabkan jutaan orang yang membaca buat pertama kalinya mulai melihat perempuan merupakan mangsa dalam konsep patriarki masyarakat yang stereotaip semua perempuan sebagai suri rumah yang hanya memperoleh identiti mereka daripada suami dan anak-anak (Barbara 2006: 161). Feminisme radikal dapat dilihat daripada penulisan oleh Firestone dan Millet yang menuntut bahawa pandangan terhadap perbezaan jantina antara lelaki dan perempuan akan dihapuskan, dan mereka juga berharap peranan tradisonal lelaki dan perempuan akan ditakrifkan semula atau mungkin diterbalikkan (Arora 2011).
Kejayaan penyebaran idea dan pengaruh feminisme bergantung kepada bagaimana idea tersebut disampaikan. Penyampaian idea melalui penulisan ilmiah sangat berkesan dalam memberi pengaruh. Meningkatnya kemunculan bahan literasi telah menjadi faktor yang mendukung kepada kejayaan gerakan perempuan. Seorang ahli falsafah dan pejuang feminisme dari Perancis iaitu Simone De Beauvoir melalui buku karyanya yang pertama berjudul The Second Sex telah mengemukakan teori-teori feminisme yang menjadi tonggak penting bagi pergerakan-pergerakan feminisme yang berlaku (Shaharom 2013: 137; Siti 2004: 41). Dalam buku tersebut beliau mendekonstruksi sejarah yang menurutnya terpinggir dari segi politik, ekonomi, sosial sehingga mencipta mitos patriarki kerana kesan daripada kekuasaan lelaki yang menyebabkan peranan wanita dalam sejarah dilupakan atau dipinggirkan daripada fokus pengarangan buku-buku sejarah. Karya beliau memberi inspirasi kepada para pejuang feminisme khususnya mengenai hak yang sepatutnya diberikan kepada wanita seperti pekerjaan, menggugurkan kandungan, mendapat tempat tinggal bagi golongan yang lanjut usia serta mempunyai status sosial yang jelas. Pada pertengahan bulan April setiap tahun telah menjadi bulan yang dikenang oleh para aktivis feminisme di seluruh dunia kerana waktu itu iaitu pada 14 April 1986 adalah dimana Simone De Beauvoir menemui ajalnya di Paris (Shaharom 2013: 137-39). Selain itu, buku karya Betty Frieden bertajuk The Feminine Mystique pada tahun 1963 yang membangkitkan isu kaum perempuan ditindas oleh lelaki menjadikan isu itu semakin hangat (Siti 2004: 41).
Bibliografi:
A. Sonny Keraf. 2010. Etika Lingkungan Hidup. Jakarta: Penerbit Buku Kompas.
Alfian Rokhmansyah. 2014. Studi dan Pengkajian Sastra; Perkenalan Awal terhadap Ilmu Sastra. Yogyakarta: Graha Ilmu.
F. Budi Hardiman. 2010. Ruang Publik: Melacak Partisipasi Demokratis dari Polis sampai Cyberspace. Yogjakarta: Kanisius.
Hooks, B. 2014. Feminism is for everybody: passionate politics. Ed. ke 2. New York: Routledge.
M. Nuruzzaman. 2005. Kiai Husein Membela Perempuan. Yogyakarta: Pustaka Pesantren.
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0520&pub=Utusan_ Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm
N D Arora. 2011. Political Science. New Delhi: Tata McGraw Hill Education Private Limited.
Neeru Tandon. 2008. Feminism: a paradigm shift. New Delhi: Atlantic Publisher & Distributors (P) Ltd.
Samuel J. Best & Benjamin Radcliff. 2005. Polling America: an encyclopedia of public opinion. Westport: Greenwood Press.
Saparinah Sadli. 2010. Berbeda tapi Setara: Pemikiran tentang Kajian Perempuan. Jakarta: Penerbit Buku Kompas.
Shaharom TM Sulaiman. 2013. Dunia Pemikiran Intelektual: Menelusuri Karya-Karya Intelectual Terpilih. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad.
Siti Muslikhati. 2004. Feminisme dan pemberdayaan perempuan dalam timbangan Islam. Jakarta: Gema Insani Press.
Soenarjati Djajanegara. 2000. Kritik Sastra Feminis Sebuah Pengantar. Jakarta: PT Gramedia Pustaka Utama.
F. Budi Hardiman. 2010. Ruang Publik: Melacak Partisipasi Demokratis dari Polis sampai Cyberspace. Yogjakarta: Kanisius.
Hooks, B. 2014. Feminism is for everybody: passionate politics. Ed. ke 2. New York: Routledge.
M. Nuruzzaman. 2005. Kiai Husein Membela Perempuan. Yogyakarta: Pustaka Pesantren.
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0520&pub=Utusan_ Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm
N D Arora. 2011. Political Science. New Delhi: Tata McGraw Hill Education Private Limited.
Neeru Tandon. 2008. Feminism: a paradigm shift. New Delhi: Atlantic Publisher & Distributors (P) Ltd.
Samuel J. Best & Benjamin Radcliff. 2005. Polling America: an encyclopedia of public opinion. Westport: Greenwood Press.
Saparinah Sadli. 2010. Berbeda tapi Setara: Pemikiran tentang Kajian Perempuan. Jakarta: Penerbit Buku Kompas.
Shaharom TM Sulaiman. 2013. Dunia Pemikiran Intelektual: Menelusuri Karya-Karya Intelectual Terpilih. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad.
Siti Muslikhati. 2004. Feminisme dan pemberdayaan perempuan dalam timbangan Islam. Jakarta: Gema Insani Press.
Soenarjati Djajanegara. 2000. Kritik Sastra Feminis Sebuah Pengantar. Jakarta: PT Gramedia Pustaka Utama.
Comments
Post a Comment