Sejarah Komanwel British

Komanwel membawa makna kepada ekonomi yang memberi manfaat kepada banyak individu, dan pada masa yang sama menjaga kepentingan keseluruhan. Komanwel menggalakkan mengejar kepentingan individu dalam konteks perusahaan bersama iaitu dengan menawarkan setiap orang kepentingan dalam sistem ekonomi, dan juga disokong oleh janji-janji bantuan dan sokongan bersama. Komanwel juga wujud pada skala antarabangsa. Satu percubaan moden untuk membina sebuah komanwel antarabangsa adalah penubuhan Negara-Negara Komanwel, yang sebelum ini dikenali sebagai Komanwel British dan kini sering dirujuk sebagai "Komanwel" (Dickson 2014).
Sejarah asal penubuhan Komanwel bermula pada abad ke-19, iaitu pada tahun 1867 apabila Kanada menjadi tanah jajahan pertama yang akan berubah menjadi negara yang mempunyai status ‘Dominion’ yang membawa maksud negara yang berkerajaan sendiri dalam Komanwel (Tmh 2007; Low 2013). Pada tahun 1884, Lord Rosebery yang merupakan seorang ahli politik British dan kemudiannya menjadi Perdana Menteri British telah memperkenalkan istilah Komanwel dengan menamakan empayar British sebagai 'Negara-Negara Komanwel'. Kemudian satu demi satu empayar British menjadi Dominions seperti Australia, Afrika Selatan, Ireland, dan New Zealand (Tmh 2007).
Pada Persidangan Imperial pada tahun 1929, Perdana Menteri negara-negara yang mengambil bahagian dalam persidangan tersebut menerima pakai Laporan Balfour yang mentakrifkan Dominions sebagai komuniti autonomi dalam Empayar British, mempunyai persamaan taraf, bersatu dan setia kepada Raja atau Ratu British sebagai ketua Komanwel, dan bebas sebagai ahli Negara-Negara Komanwel British. Satu undang-undang British telah diluluskan pada tahun 1931 sebagai Statut Westminster, dan telah diterima dengan segera di Kanada, Ireland, Newfoundland, (yang menyertai Kanada pada tahun 1949) dan Afrika Selatan. Pada tahun 1953, Ratu Elizabeth II ditabalkan sebagai ketua Komanwel. Selepas itu banyak lagi negara-negara jajahan British yang merdeka menyertai Komanwel seperti India, Pakistan, dan lain-lain (Tmh 2007).
Kini anggota Komanwel terdiri daripada 53 buah negara, yang sebahagian besarnya mempunyai hubungan sejarah dengan Empayar British lama seperti Malaysia, India, Australia, Pakistan, Canada, dan New Zealand (Dickson 2014; commonwealthofnation.org 2016). Tujuan penubuhan Komanwel adalah untuk mengeratkan perhubungan dan perpaduan di kalangan negara anggota, membentuk persepaduan di bawah satu pertubuhan dan bekerjasama dalam pelbagai bidang di kalangan negara anggota, menjaga kebajikan negara-negara ahli untuk memajukan negara anggota, menawarkan kemudahan dan layanan yang baik daripada kerajaan British terutamanya untuk pasaran barangan negara anggota Komanwel di British, dapat berkongsi pakar-pakar dalam pelbagai bidang supaya dapat berbincang untuk meningkatkan lagi kepakaran negara anggota, dan akhir sekali adalah memberikan kemudahan pendidikan kepada negara anggota melalui Rancangan Pelajaran Komanwel (pmr.penerangan.gov 2016).
Dari sudut ekonomi, negara-negara Komanwel adalah terdiri daripada pelbagai keadaan iklim, dan juga mempunyai sumber semula jadi, kemahiran manusia dan taraf hidup yang pelbagai. Kepelbagaian yang terdapat atau boleh ditawarkan oleh negara-negara Komanwel, mewujudkan kemungkinan boleh mendatangkan keuntungan yang besar daripada pembangunan perdagangan intra Komanwel, seperti produk daging dan tenusu New Zealand, hasil bijian Australia, dan hasil tekstil India. Di samping itu, sudah tentu juga terdapat peluang perdagangan yang besar dalam perdagangan bahan-bahan mentah asas dan bahan makanan tropika (Wiseman 1965).
Bibliografi:
Del Dickson. 2014. The People’s Government: An Introduction to Democracy. New York: Cambridge University Press.
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/antara/1078-komenwel.html (atas talian pada 12 Disember 2016)
https://thecommonwealth.org/logo-kit-and-guidelines (atas talian pada 2 April 2020)
H. Victor Wiseman. 1965. Britain and the Commonwealth. London: George Allen & Unwin Ltd.
Tmh. 2007. General Knowledge Manual. New Delhi: Tata Mcgraw-Hill Education.
Bibliografi:
Del Dickson. 2014. The People’s Government: An Introduction to Democracy. New York: Cambridge University Press.
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/antara/1078-komenwel.html (atas talian pada 12 Disember 2016)
https://thecommonwealth.org/logo-kit-and-guidelines (atas talian pada 2 April 2020)
H. Victor Wiseman. 1965. Britain and the Commonwealth. London: George Allen & Unwin Ltd.
Tmh. 2007. General Knowledge Manual. New Delhi: Tata Mcgraw-Hill Education.
Comments
Post a Comment